UCAPAN ALUAN
SAUDARA AHMAD FAIZ BIN FADZIL
PENGARAH PESTA KONVOKESYEN KALI KE 43
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PESTA KONVOKESYEN KALI KE 43
16 OGOS 2009
DI PADANG KAWAD UTAMA, UTM, SKUDAI JOHOR
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Mengadap,
Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultanah Zanariah Binti Almarhum Tunku Ahmad, Sultanah Johor dan Canselor Universiti Teknologi Malaysia;
Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia.
Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Maserah binti Sultan Iskandar Al-Haj.
AMPUN TUANKU BERIBU-RIBU AMPUN, SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN.
Dengan penuh rasa kesyukuran patik memanjatkan sembah, menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Canselor ke majlis ini dan seterusnya menyempurnakan majlis perasmian pada malam ini.
Ampun Tuanku;
Patik memohon keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Canselor untuk berucap kepada para hadirin sekalian dan patik mohon untuk membahasakan diri patik sebagai ’saya’ dalam ucapan selepas ini.
Ampun Tuanku;
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Abdullah bin Ayub, Pro-Canselor,Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Berbahagia Puan Sri Datin Anna binti Abdul Ranee;
Yang Berhormat Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan bin Mohd Salleh,Pro-Canselor,Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Dihormati Datin Zan Rokiah binti Abdul Rahman;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Halim bin Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah,Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Berbahagia Puan Sri Teh Zahariah binti Jahidin;
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Yang Berbahagia Datin Dr. Zainah binti Mokhtar;
Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Tajudin bin Hj. Ninggal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, juga Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Konvokesyen Kali Ke 43;
Yang Berusaha Saudara Abd Hadi bin Abd Halim, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTM;
Pegawai-pegawai Kanan Universiti,Dekan-dekan,Pengetua-pengetua Kolej,Barisan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009,Barisan Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Pesta Konvokesyen ;
Yang Berbahagia Prof. Dr. Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia serta izin dari-Nya, majlis perasmian Pesta Konvokesyen kali ke-43 ini dapat diadakan. Syukur juga ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan kesihatan fizikal dan mental kepada jawatankuasa pelaksana Pesta Konvokesyen ini untuk terus melaksanakan tugas hingga ke hari terakhir.
Sidang hadirin sekalian,
Pesta Konvokesyen kali ke-43 ini telah bermula pada 13 Ogos yang lepas dan insyaAllah,akan tamat pada 19 Ogos ini. Dengan berlandaskan motto ’Kreatif dan Inovatif Tunjang Transformasi’,burung merpati dipilih sebagai logo Pesta Konvokesyen pada kali ini sebagai melambangkan kebebasan. Burung merpati ini juga melambangkan mahasiswa dan graduan UTM yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam melahirkan ciptaan baru dan tidak hanya tertumpu kepada satu kemahiran sahaja. Ini adalah seiring dengan motto Universiti, ’Menjana Minda Kreatif Dan Inovatif’. Sayap yang terbuka dan bersedia untuk terbang pula melambangkan graduan UTM yang sentiasa bersedia dalam menempuhi segala cabaran. Angka 43 menunjukkan bahawa Majlis Konvokesyen ini telah diadakan buat kali yang ke 43 di bumi UTM ini. Warna merah melambangkan keberanian, kemegahan dan semangat yang tinggi yang telah diterapkan di dalam diri para graduan UTM. Manakala warna biru pula melambangkan kedamaian, ketenangan dan perpaduan yang lahir dikalangan graduan dan mahasiswa UTM pada hari ini, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri kita dengan konsep “Satu Malaysia”.
Sidang hadirin yang dihormati,
Buat pengetahuan semua, Pesta Konvokesyen pada kali ini telah menyediakan sebanyak 158 buah gerai yang terdiri daripada gerai kering, basah, dan juga korporat. Penggerai-penggerai pula terdiri daripada orang persendirian, syarikat swasta dan mahasiswa UTM sendiri yang mewakili persatuan, kelab, atau kolej masing-masing. Secara tidak langsung, Pesta Konvokesyen ini telah menjadi satu platform untuk mahasiswa menimba ilmu berkaitan keusahawanan agar dapat dimanfaatkan pada masa akan datang. Malah, melalui penglibatan di dalam aktiviti sebegini, mahasiswa juga berpeluang untuk meningkatkan kemahiran insaniah di dalam diri mereka.
Sidang hadirin yang dikasihi,
Dikesempatan ini ingin saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk Universiti yang banyak membantu dalam memberikan tunjuk ajar serta memudahkan urusan saya dan rakan-rakan saya sepanjang tempoh pelaksanaan Pesta Konvokesyen ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada rakan-rakan seperjuangan yang sanggup berhempas-pulas, mengerahkan tenaga dan idea bagi memastikan keberlangsungan Pesta Konvokesyen kali ini. Tanpa berbekalkan tenaga kerja seramai 85 orang ini, belum tentu majlis seumpama ini dapat direalisasikan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada penaja-penaja Pesta Konvokesyen kali ke-43 ini terutamanya kepada pihak Celcom (Malaysia) Berhad sebagai penaja utama, CIMB Bank Berhad, SPACE UTM, Bank Rakyat,LIVITA dan ADABI Food Industrial yang turut menaja pesta konvokesyen ini. Tidak lupa juga kepada Perodua Sales Sdn. Bhd.,Naza Corporation Sdn. Bhd., Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., dan Daihatsu (Malaysia) Sdn. Bhd. yang sudi menaja kenderaan rasmi pada pesta konvokesyen kali ini.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya menyusun sembah takzim, menjunjung kasih Baginda Tuanku Canselor atas kesudian Tuanku mencemar duli ke majlis ini. Kehadiran Tuanku lebih menyempurnakan majlis yang diadakan pada malam ini. Tidak lupa kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Pesta Konvokesyen kali ke-43 ini.Bantuan dan sumbangan dari semua sangat saya hargai dan hanya jutaan terima kasih yang mampu saya ucapkan.
Akhir kata,
Meriah sungguh di malam ini
Wajah ceria berseri-seri
Terima kasih daun keladi
Jasa dan budi dibawa mati
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
2 comments:
Tudia aih.. baca semua ni ka?
Panjang sungguh intro dia.
@__@
anis, tu bukan intro...
tu namanye salutation...huhu
kalau nak berucap kene salute orang2 yg berpangkat nie...memang panjang kalau dah ramai yang datang kan, =)
Post a Comment